Tuesday, January 13, 2009

WARKAH UNTUK GM-IPU-MAMPU

Posted on 11:51 PM by ASPIRASI UKM

Assalammualaikum.
Ke hadapan sahabatku Gabungan Mahasiswa yang disayangi selalu,
Moga sahabat berada dalam keadaan berbahagia hendaknya.

Pertama sekali,izinkan saya memanggil sahabat dengan nama GM. Mudah sedikit. Maklumlah dalam keadaan yang sentiasa sibuk ini, apa yang boleh disingkatkan, kita singkatkan sahaja, Bukan begitu, GM?


Oh,ya. Bercakap soal nama ini, teringat saya pada kawan-kawan kita dahulu. Ke mana perginya IPU dan MAMPU,ya? Sudah tidak kedengaran lagi ya? Mula-mula IPU hilang. Kemudian muncul MAMPU. Kemuddian hilang lagi. Sekarang? GM pula ya? Wah,wah,wah…sukar benar menukar nama,ya?Tidak mengapalah, GM-IPU-MAMPU.

Sahabatku GM-IPU-MAMPU,
Tujuan saya menulis warkah ini bukanlah untuk membuang masa sahabat untuk membacanya. Sebaliknya, hati kecil ini mendesak agar diluahkan segala yang terbuku sekian lama melihatkan gelagat dan tingkah laku GM-IPU-MAMPU.
Sejak dulu lagi, GM-IPU-MAMPU sering melaungkan AUKU telah menyebabkan mahasiswa menjad terkongkong dan lesu serta kaku. Sehinggalah AUKU dipinda baru-baru ini pun GM-IPU-MAMPU masih lagi berkeras dengan ego yang tinggi menyalahkan AUKU atas kebodohan GM-IPU-MAMPU. Maafkan saya jika terkasar bahasa. Maklumlah, darah muda. Bukankah GM-IPU-MAMPU juga suka memaki hamun ketika berkempen, dengan berkonvoi beramai-ramai menjerit-jerit , membuat provokasi dan macam-macam lagilah. Tapi, tidak mengapalah, saya faham, itu darah muda GM-IPU-MAMPU.

Berbalik kepada soal AUKU tadi, kononnya menyekat kebebasan dan keativiti mahasiswa pada masa kini.

Saya melihat isu ini berdasarkan apa yang ada di sekeliling kita kini. Jika AUKU yang dipersalahkan, maka jelaslah sampai bila-bila pun mahasiswa universiti di Malaysia akan terus berada pada tahap yang sama. Mengapa saya berkata begitu, GM-IPU-MAMPU?

GM-IPU-MAMPU tidak habis-habis menyalahkan AUKU.Tapi jika dipanggil kelompok-kelompok sahabat ini, berapa kerat sebenarnya antara sahabat yang benar-benar telah membaca dan mengkaji AUKU tersebut dengan teliti? Jika anda tidak pernah pun membaca AUKU itu secara keseluruhan, jadi di mana rasionalnya meminta AUKU dipinda apatah lagi dimansuhkan? Kelakar sungguh GM-IPU-MAMPU ini.
Apa sebenarnya masalah GM-IPU-MAMPU?

Sahabatku GM-IPU-MAMPU,
Bagi saya secara peribadi, masalah kita bukanlah AUKU. Masalah yang paling besar yang saya lihat ialah kurangnya keyakinan diri graduan-graduan pada masa kini. Sikap mahasiswa yang kurang minat untuk membaca merupakan salah satu punca kepada masalah ini. Mereka lebih gemar kepada hiburan-hiburan yang kian hari kian banyak dilambakkan kepada mereka. Apabila kurangnya minat membaca ini, maka kuranglah pengetahuan di dada mereka. Bila kurangnya pengetahuan di dada, bagaimana mahu berhadapan dengan dunia luar dengan penuh yakin? Bila kurangnya ilmu, bagaimana mahu menjana minda menjadi kreatif dan berdaya saing?Terkial-kial semasa temuduga. Malu untuk bercakap Bahasa Inggeris. Semua ini lah yang sebenarnya harus diperhalusi. Bukannya mejadikan AUKU sebagai ‘punching-bag’.

Mahasiswa harus sedar di universitilah tempat mengasah ‘soft-skills’, mengaut ilmu seberapa banyak yang boleh dan membina kemahiran-kemahiran berinteraksi dengan khalayak. Bukan sekadar kuliah, tugasan dan juga peperiksaan. Mentaliti mahasiswalah yang harus diubah untuk melahirkan mahasiswa yang kreatif dan berdaya saing. Bukannya meminda AUKU.

Sahabatku GM-IPU-MAMPU,
Bukanlah layak bagi saya untuk mengajar GM-IPU-MAMPU,apatah lagi menyuruh GM-IPU-MAMPU mengikut apa yang saya suarakan. Cuma saya tahu, GM-IPU-MAMPU juga manusia seperti saya, manalah tahu sekurang-kurangnya perkongsian saya ini boleh membuatkan GM-IPU-MAMPU turut sama berfikir dan merenung kembali segala kesilapan yang sengaja mahupun yang tak disengajakan dahulu.
Sebelum dipinda dahulu, Seksyen 15, AUKU menyatakan secara jelas tentang larangan berikut: “Pelajar atau Pertubuhan, Badan atau Kumpulan Pelajar dilarang bersekutu dengan persatuan-persatuan dan sebagainya, kecuali sebagaimana diperuntukkan di bawah perlembagaan atau diluluskan oleh Naib Canselor.” Dinyatakan secara terang bagaimana seorang pelajar universiti tidak boleh menjadi ahli atau bersekutu dengan mana-mana persatuan, parti politik, kesatuan sekerja; sama ada di dalam atau luar negara – kecuali sebagaimana diluluskan oleh Naib Canselor.

Adakah ini yang dikatakan sebagai punca masalah mahasiswa kita?
GM-IPU-MAMPU mengatakan apabila kebebasan berpolitik disekat oleh Seksyen 15 tersebut, maka mahasiswa yang menjadi mangsa. Menjadi lembab. Memalukan. Menjadi lesu.

Saya tidak bersetuju dengan pandangan GM-IPU-MAMPU tersebut kerana saya pun berada di bawah suasana AUKU ini. Tidak menjadi masalah kepada mahasiswa untuk menjadi ‘out-spoken’, kreatif dan berdaya saing jika ada kemahuan di dalam diri mereka. Usah persoalkan isu boleh atau tidak. Soalnya sekarang ialah MAHU atau TIDAK MAHU.

Sahabatku GM-IPU-MAMPU,
Saya berpeluang ke Universiti of Philippines Los Banos (UPLB) satu masa dahulu untuk mengadakan pertemuan dengan kelompok pelajar di sana. Apa yang saya lihat, kematangan mahasiswa di UPLB sangat jelas walaupun rata-rata yang saya temui baru berumur 18 hingga 20 tahun (di Filipina, kemasukan ke universiti adalah seawal umur 17 tahun). Pengetahuan mereka terhadap isu-isu dunia sangat luas. Apatah lagi tentang sejarah politik negara mereka.

Persoalannya, dapatkah suasana begitu dilihat di negara kita. Jika ditanya kepada GM-IPU-MAMPU, “Apakah nama penuh Yang di-Pertuan Agong Malaysia sekarang?”, berapai ramai yang dapat menjawab dengan betul? Itu belum ditanya kepada GM-IPU-MAMPU nama penuh Raja Permaisuri Agong. Apatah lagi jika disuruh senaraikan semua nama Raja, Sultan dan Yang di-Pertua Negeri yang ada di Malaysia ini. Nama menteri-menteri di kabinet? Tergagap-gagap menjawabnya GM-IPU-MAMPU.

Nah!! Lihat sahaja itu. Adakah AUKU juga yang salah? Adakah AUKU melarang kita mengambil tahu semua itu?

Sahabatku GM-IPU-MAMPU,
Kenapa perlu menuding jari menyalahkan AUKU jika diri sendiri yang sebenarnya tidak mengambil tahu?

Kenapa perlu sibuk mahu meminda AUKU jika yang sebenarnya perlu ‘dipinda’ ialah minda kita?

Sahabatku GM-IPU-MAMPU,
Memang menarik untuk membangkang apa yang ada. Mungkin rasa gah bila melaungkan ‘suara mahasiswa’. Tetapi itu semua tak akan bermakna jika ilmu di dada belum benar-benar cukup.

Tahu sahaja tidak cukup, kita kena ambil tahu. Dengar sahaja tidak cukup, kita kena banyak membaca.

Sahabatku GM-IPU-MAMPU,
Bercakap tentang isu Tebing Barat dan Israel sahaja tidak cukup jika tidak memperhalusi sejarah sebenar perjuangan di Palestin.

Mengutuk Amerika Syarikat (AS) sebagai syaitan dunia sahaja tidak cukup jika kita tidak tahu pun apa dasar luar Malaysia terhadap AS.

Bercakap tentang isu negara bangsa pun masih belum cukup jika tidak disentuh langsung ‘kitab’ Sulalatul Salatin yang menceritakan adat istiadat kerajaan, susunan raja Melayu dan sejarah kerajaan Melayu.

Sahabatku GM-IPU-MAMPU,
Imej kendiri mahasiswa bukan bergantung kepada AUKU. Kongkongan minda mahasiswa juga bukan salah AUKU. Tirai-terai besi ilmu harus ditembusi. Gali khazanah pemikir-pemikir dahulu dalam karya-karya mereka. Pertimbangkan hikayat Nabi-nabi kita.Iqra. Bacalah. Tanamkan semangat cintakan ilmu nescaya tiada apa yang boleh membataskan perkembangan mahasiswa kita. AUKU bukan penghalang kepada pemikiran yang kritis. Bukan AUKU masalah kita. Masalah kita adalah diri kita sendiri.

Akhir kalam, ingatlah, janganlah jadi Pak Turut ya, GM-IPU-MAMPU. Dengar sahaja cakap-cakap orang maka sibuklah kita berkokok di sana sini meminta agar AUKU dimansuhkan. Ingat pesan Tuah, “Menurut biarlah berakal, kalau mengikut biar pintar”.

Semoga kita bersama-sama insaf dan muhasabah diri sentiasa. Mengapa perlu menunding jari menyalahkan semua pihak sedangkan yang perlu dilihat ialah diri sendiri.

Sahabatku, GM-IPU-MAMPU. Anda masih belum terlambat. Fikir-fikirkanlah.

7 Response to "WARKAH UNTUK GM-IPU-MAMPU"

.
gravatar
Anonymous Says....

syabas dan tahniah diucapkan..semoga ramai lagi siswa/i akan terbuka minda mereka.

.
gravatar
Anonymous Says....

syabas juga kepda aspirasi tetapi saya sedih kerana anda mengambil Filipina sebagai contoh kerana setahu saya filipina adalah sebuah negara yg miskin kerana pendapatn utama filipina dtg dari warga mereka yg bekerja di sini dan lebih kurang jutaan RM mengalir keluar dari Malaysia saban hari.mentaliti masyrkt filipina telah diracuni oleh US.bagi mereka US la segalanya dan menjadikan bahsa Inggeris sebagai bahasa pengantar dan kebanyakan rakyat mereka suka menjalinkan hubungan seks bebas dgn warga US dan anak2 mereka dibaiarkan.saya kurang setuju jika anda mengambil filipina sebagai contoh kerana banyak negara lain yg sesuai khususnya di ruang lingkup eropah dan juga far east.

.
gravatar
Anonymous Says....

hahaha...

tu sbb dia g filipina laaa...kalau ko nktulih psl europe ke far east ke hape ke,kena laa g tgk dulu..tengok dulu..ada buki br ckp...aspirasi x macam GM,main ckp je xde bukti...hahahah!

psssssstt: byk nye duit nk g europe..PAK ANWAR BRAHIMS nak sponsor ke?? HAHAHAH!!

.
gravatar
Unknown Says....

So what if they have sex?Diorang tu orang islam Ke?Hang ni anonymous menyerang peribadi orang, orang dok cakap pasai mentaliti depa, hang dok cakap depa dok wat sex, pendapatan perkapita bla3...kemunduran itulah yang menyebabkan depa berfikir, tak macam orang yang belajaq agama konon2, tapi otak tu tertutup, tak mampu nak meletakkan diri sendiri dalam keadaaan orang lain..

dan boleh jadi orang itu melakukan kebaikan di mata kamu, tapi kamu tidak tahu niatnya, dan boleh jadi orang itu melakukan maksiat di mata kamu, tapi kamu tidak tahu niatnya.

pikir dulu sebelum cakap brother..or sister..

.
gravatar
Anonymous Says....

"Sahabatku GM-IPU-MAMPU,
Bagi saya secara peribadi, masalah kita bukanlah AUKU. Masalah yang paling besar yang saya lihat ialah kurangnya keyakinan diri graduan-graduan pada masa kini. Sikap mahasiswa yang kurang minat untuk membaca merupakan salah satu punca kepada masalah ini. Mereka lebih gemar kepada hiburan-hiburan yang kian hari kian banyak dilambakkan kepada mereka."

Kenapa mahasiswa lebih gemar kepada hiburan berbanding pergi ke Masjid atau memperkasakan ilmu-ilmu kerohanian? Jika hiburan inilah puncanya seperti yang saudara/i katakan, kenapa mahasiswa masih lagi disogok dengan hiburan? Berapa banyak sangat program ilmiah yang telah dianjurkan berbanding dengan program-program hiburan? Usah dibicarakan hiburan diluar sana,tapi cuba kita teliti program-program dalaman universiti. Berapa kerat sangat program ilmiah yang telah dianjurkan. Mungkin ada yang akan menjawab, kan ada pusat Islam buat ceramah. Tapi adakah ianya mencukupi? Kuliah atau ceramah agama sering diadakan di Pusat Islam, tapi dikolej-kolej,mereka terus dihiburkan dengan pelbagai program hiburan. Ambil contoh program-program karnival anjuran kolej-kolej kediaman. Majoriti kolej lebih cenderung memilih untuk menjemput artis-artis berbanding menjemput ustaz-ustaz. Kalau dilihat pada sem lepas, hanya KTHO sahaja yang dilihat tentatif programnya lebih kepada kerohanian. Kolej-kolej lain lebih cenderung kepada hiburan. KKM menjemput Hujan, Za'ba undang Farah,Jumpa PakCik Husin dan ramai lagi artis-artis. Kenapa tidak dijemput Hijjaz,Rabbani,Raihan dan banyak lagi penghibur-penghibur yang boleh mendidik jiwa mahasiswa? Jika di hitung, timbangan hiburan itu melebihi timbangan program kerohanian. Semua ini dipertanggungjawabkan atas bahu pemimpin mahasiswa.Siapa pemimpin mahasiswa? Ana bukan nak mengutuk, tapi ini adalah satu cadangan kerana ana sayangkan UKM,ana sayngkan sahabat2 ana. Ana tak nak tengok sahabat2 ana hanyut dengan dunia. Ana tak nak tengok sahabat2 ana bergelumang maksiat. Berapa banyak mahasiswa/i berdua-duaan atau dengan kata lain berkhalwat pada lewat malam di kawasan kolej? Apa tindakan ke atas mereka? Adakah kerana kita tak nak ganggu privacy mereka,so kita biarkan mereka bergelumang dosa? Apakah langkah pencegahannya? Setakat mana sgt kudrat ana nak tegur sorang-sorang. Mahasiswa makin lesu,makin kuyu makin cenderung ke arah maksiat. Bukanlah nak kata tak boleh berhibur, tapi bentuk hiburan itu haruslah selaras dengan syariat. Mungkin ada yang akan mengatakan, UKM ni berbilang kaum. Ya, ana tak nafikan. Tapi janganlah kita sebagai orang Islam pun turut terikut-ikut. Dalam pemerhatian ana, kalau program-program konsert hiburan, yang paling ramai menjadi pengunjungnya adalah mahasiswa Islam, yang bukan Islam, mereka lebih cenderung duduk di bilik dan belajar. So, di sini dapat dilihat,siapa yang lebih bijak? Semuanya adalah petanda akhir zaman. Maksiat dan hiburan berleluasa. Yang bathil mendahului yang hak. Bila ana komen di sini mungkin akan ada yang berkata, alah ustaz ni nak ceramah kat sinilah pulak. Nak ceramah pergi ler masjid ke,surau ke. Itulah masalah mahasiswa sekarang.Kalau kita buat ceramah kat masjid, kat surau,bukannya diorang nak datang dengar. Pastu ble ilmu agama tak cukup, mulalah tak takut dosa, tak kenal pahala. Ana tujukan ini khusus kepada mahasiswa/i Islam. Ana bukan penyokong GM,bkn penyokong Aspirasi, tapi ana sayangkan sahabat2 sekalian.

.
gravatar
Anonymous Says....

Juga mengharapkan kepada pemimpin-pemimpin mahasiswa sekalian supaya dititik beratkan soal pemakaian mahasiswa. Etika pemakaian ada,tapi pelaksaannya kurang. Masalah pendedahan aurat dikalangan mahasiswa. Macamana nak berkat ilmu kalau tiap-tiap hari asyik duk menatap aurat orang. Mungkin undang-undang mewajibkan mahasiswa/i Islam menutup aurat itu masih sukar dilaksanakan lantaran krisis kecetekan ilmu agama dan nipisnya iman dikalangan mahasiswa, titik beratkan penguatkuasaan etika pemakaian yang sedia ada. Takdelah mahasiswa terutamanya siswi nak pkai 'baju adik' nampak bon***. Kenapa ana tujukan cadangan ini kepada Aspirasi? Kerana sekarang Aspirasilah yang menjadi suara mahasiswa setelah baru diberi mandat. Kalau ana utarakan pada GM,apa sangatlah kuasa mereka sekarang. Takkan ada sapa nak dengar suara mereka. Ana amat-amat mengharapkan antum semua. Jangan kecewakan mahasiswa/i UKM.

.
gravatar
Anonymous Says....

"Kenapa ana tujukan cadangan ini kepada Aspirasi? Kerana sekarang Aspirasilah yang menjadi suara mahasiswa setelah baru diberi mandat. Kalau ana utarakan pada GM,apa sangatlah kuasa mereka sekarang. Takkan ada sapa nak dengar suara mereka. Ana amat-amat mengharapkan antum semua. Jangan kecewakan mahasiswa/i UKM."

KEKALAHAN YANG PALING CELAKA ADALAH BERPUTUS ASA! CUBALAH DULU..INI TIDAK,BELUM BUAT APA2 DAH MENGAKU TAK MAMPU..SAMA MACAM PEMBANGKANG KAT LUAR..ASYEK CAKAP SOAL KUASA..!!