Friday, July 23, 2010

Minggu Mesra Pelajar Sesi 2010-2011

Posted on 5:45 PM by ASPIRASI UKM

Pada Sabtu (10/7/2010) lalu, secara rasminya MMP '10 telah melabuhkan tirai. Pelbagai kenangan serta pengalaman yang dapat dikutip oleh para pemudahcara baik PC Pusat mahupun PC Kolej.

Pada tahun ini, tema MMP adalah '1 UKM 1 MALAYSIA' dan saudara Mohamad Falihin telah bertindak sebagai ketua penyelaras. Gerak kerja untuk MMP '10 telah bermula sejak sebulan setengah yang lalu. Para PC Pusat yang dipilih terdiri dari persatuan serta urusetia yang terdapat di Pusanika. Sementara PC Kolej pula terdiri dari JAKSA serta pelajar-pelajar yang telah dipilih oleh pengetua masing-masing.

Sebelum bermulanya MMP, para PC telah dihantar untuk berkursus di Terengganu. PC-PC telah dipecahkan kepada 3 kumpulan. Hal ini demikian kerana bilangan PC yang terlalu ramai. Pada tahun ini, jumlah PC yang terlibat lebih kurang 550 orang. Selepas itu, para PC mestilah menghadiri taklimat sehari di DAM pada 1 Julai 2010. Taklimat ini bertujuan memberi pendedahan kepada para PC mengenai jabatan serta kebajikan agar mudah untuk PC menerangkan kepada para pelajar kelak. Kursus yang dijalankan di Besut, Terengganu ini sangat berguna dalam merapatkan ukhwah antara pemudahcara.

Hari pertama MMP '10 adalah pada 4 Julai 2010 dan dimulai aktiviti dengan lawatan Naib Canselor ke setiap kolej kediaman disertai oleh para pentadbir universiti. Seterusnya, terdapat sesi bersama-sama media di Kolej Keris Mas. pada sebelah petang pula, pelajar-pelajar mempunyai aktiviti di kolej masing-masing. Hari kedua diteruskan dengan taklimat di fakulti masing-masing dan program di DECTAR sebelah malam. Begitu juga dengan hari ketiga di mana pelajar-pelajar baru dibawa ke fakulti bagi pendaftaran kursus. Hari ketiga telah diadakan acara sukan di DG. Sukan pada tahun ini adalah berbeza seperti sebelumnya di mana hanya acara yang dipertandingkan dan terdapat simulasi sukan. Sebelah malam pula, berlangsungnya pertandingan Piala Naib Canselor peringkat akhir dimana menyaksikan Kolej Ibrahim Yaakub muncul juara.

Pada 8 Julai 2010, pelajar-pelajar mempunyai program di DECTAR. Seawal jam 8 pagi, para pelajar telah berkumpul di DECTAR dan membuat persediaan untuk upacara lafaz ikrar. Selesai lafaz ikrar, para pelajar baru telah secara rasmi bergelar mahasiswa di UKM. Program seterusnya adalah majlis kesyukuran di Masjid UKM dan sesi bersama-sama angkasawan negara. Hari terakhir bagi program di DECTAR berakhir dengan malam percikan seni. Pembaharuan dilakukan pada tema malam itu dimana pusat kebudayaan menyampaikan muzikal drama berkisar mengenai artisukma. 10 Julai 2010, pelajar-pelajar telah disediakan dengan program-program di kolej.

Secara keseluruhannya, pelajar-pelajar yang telah mendaftar di UKM adalah lebih kurang 3300 orang. Aktiviti-aktiviti yang dilakukan juga tidak banyak perbezaan berbanding tahun sebelumnya. Masalah pada tahun ini juga tidaklah seberat seperti sebelumnya. banyak aspek yang mungkin boleh diperbaiki lagi bagi MMP akan datang. Akhir kata, terima kasih kepada pentadbiran universiti kerana memberi kepercayaan kepada kami PC-PC Pusat untuk mengendalikan MMP '10. Terima kasih diucapkan kepada YDP-YDP kolej atas kerjasama yang sangat baik sepanjang MMP. Moga ikatan ukhwah yang terjalin antara kita terus berkekalan hingga akhir hayat. Sesungguhnya yang baik datang dari Allah, dan yang kurang itu dari kekhilafan kami sendiri.

No Response to "Minggu Mesra Pelajar Sesi 2010-2011"