Wednesday, March 3, 2010

UCAPAN DASAR PRESIDEN PERSATUAN MAHASISWA UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA SESI 2009/2010

Posted on 5:20 AM by ASPIRASI UKM



Bismillahirahmanirrahim…

Yang Berbahagia
Prof. Tan Sri Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin
Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia

Yang Berbahagia
Prof. Dato’ Dr. Mohamad Abdul Razak
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, UKM

Yang Berbahagia
Prof. Dato’ Ir. Dr. Hassan Basri
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, UKM

Yang Berbahagia
Prof. Dr. Rahmah Mohamad,
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, UKM

Yang Berbahagia
Prof. Dr. Saran Kaur Delip Singh
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, UKM

Pegawai –pegawai kanan, UKM
Pengetua-pengetua kolej kediaman,
Barisan Kepimpinan Majlis Perwakilan Sesi 2009/2010
Dan seterusnya hadirin yang dihormati sekalian 

Assalamualikum,W.B.T, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.

Sebelum hujah menyusul madah, sebelum kata menguntum bicara marilah bersama-sama kita merafa’kan kesyukuran kehadrat Ilahi atas limpah kurnianya dan selawat serta salam buat Rasulullah S.A.W dan  ahli keluarga Baginda serta para sahabat, pengikut-pengikut sahabat dan tabiin kerana kita sama-sama dapat berkumpul pada hari yang bersejarah ini atas satu majlis yang amat bermakna iaitu Majlis Penyampaian Watikah dan Penyampaian Ucapan Dasar Presiden PMUKM Sesi 2009/2010.




                                    Yang Kurik itu kendi
                                            Yang merah itu saga
                                    Yang Baik itu budi
                                            Yang indah itu bahasa

Y.bhg. Prof. Tan Sri /Dato`/Datin /Tuan-Tuan dan Puan-Puan Yang Dihormati.

Majlis Perwakilan Pelajar(MPP) yang ditubuhkan mengikut Perkara 52(2) dan (3) Perlembagaan Universiti merupakan salah satu platform untuk mengembangkan potensi dan bakat kepimpinan pelajar dan seterusnya menjadi pelapis  kepimpinan negara dalam menggapai Wawasan 2020.

PMUKM pada sesi ini telah menggariskan empat (4) dasar utama yang mendukung tema “Mahasiswa Tunjang Aspirasi Universiti”. Dasar-dasar tersebut adalah:

  1. Memperkasa kebajikan pelajar tonggak utama pembentukan PMUKM
  2. Membantu Universiti melahirkan graduan minda kelas pertama sederap menjadikan UKM Universiti terkehadapan dunia.
  3. Keperihatinan terhadap kebajikan hal ehwal siswi
  4. Memupuk perpaduan dalam kalangan warga UKM yang berbilang kaum berteraskan nilai-nilai murni dan berpaksikan Rukun Negara dan berkonsepkan 1 Malaysia.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Perkara Pertama: Memperkasa kebajikan pelajar tonggak utama pembentukan PMUKM

Pada sesi ini, barisan kepimpinan PMUKM Sesi 2009/2010 akan meneruskan tradisi kepimpinan PMUKM sebelum ini dalam segala hal berkaitan kebajikan pelajar dan memandangkan kebajikan pelajar menjadi tonggak utama PMUKM, Exco Kebajikan telah dibahagikan kepada tiga teras utama yang merangkumi Exco Prasarana, Keselamatan dan Pengangkutan, Exco Tenaga, Air dan Komunikasi serta Exco Hal Ehwal Pengguna dan Kesihatan. Hal ini adalah bagi memastikan setiap exco dapat menumpukan tugas mereka dengan lebih fokus dan efisyen.




Prasarana, Keselamatan dan Pengangkutan 

Permasalahan mengenai prasarana adalah penting untuk diambil perhatian oleh pihak universiti. Kemudahan dan prasarana di dewan-dewan kuliah sudah seharusnya menjadi perhatian utama pihak PMUKM. Prasarana dewan kuliah seperti LCD, kerusi, komputer dan pendingin udara harus dinaik tarafkan setanding dengan UKM sebagai universiti penyelidikan yang tersohor. Prasarana seperti jalan raya dan pencahayaan  di seluruh kawasan kampus diminta untuk diperbaiki sebaik mungkin. Mengenai kemudahan-kemudahan sukan dan rekreasi seperti gelanggang dan peralatan sukan diminta dinaik taraf dan diselenggara dengan signifikan agar pelajar-pelajar dan atlet dapat memanfaatkan kemudahan pada tahap  optimum. Kemudahan ini sudah pasti akan memberikan motivasi kepada semua pelajar untuk beriadah  memastikan fizikal mereka berada dalam keadaan sihat dan cergas. Bak kata pepatah, ‘Otak yang cerdas datangnya dari badan yang sihat’.

Dari aspek keselamatan, pihak PMUKM pada sesi lepas banyak menerima aduan dari pelajar tentang kehilangan barang-barang seperti motorsikal, komputer riba, telefon bimbit dan sebagainya. Sehubungan dengan itu, pihak kami menyarankan agar pihak universiti menambah bilangan anggota keselamatan disamping memperhebat rondaan memandangkan kekerapan kes-kes kecurian dan perkara-perkara tidak di ingini yang dilaporkan bagi memastikan perkara ini dibanteras ke tahap sifar. Pada ketika ini pihak PMUKM mendapat laporan tentang CCTV yang tidak berfungsi dengan baik sama ada di kolej-kolej kediaman atau di fakulti.  Oleh yang demikian pihak PMUKM juga memohon jasa baik pihak pengurusan universiti supaya menambah dan memastikan ke semua kamera litar tertutup (CCTV) berfungsi dan diselenggara dengan baik.

Seperti yang kita sedia maklum, hampir semua pelajar menetap di kolej-kolej kediaman di mana ianya terletak di dalam kampus. Pengangkutan bas sudah semestinya menjadi medium utama pelajar-pelajar terutama dari kolej ke dewan-dewan kuliah. Sehubungan dengan itu, pihak PMUKM memohon jasa baik pihak pengurusan universiti  supaya merancang penjadualan bas yang lebih efisyen. Perkhidmatan Sistem Letak dan Naik merupakan satu sistem yang diperkenalkan oleh pihak universiti bertujuan mengelakkan kesesakan dan pelestarian kampus, namun pihak PMUKM memohon jasa baik phak universiti supaya mengkaji semula keberkesanan Sistem Letak dan Naik memandangkan perkhidmatan ini tidak mendapat sambutan daripada warga kampus. Oleh yang demikian pihak kami mencadangkan agar pihak universiti memberikan tambahan kemudahan pengangkutan kepada aktiviti persatuan, kelab dan kolej-kolej agar kegiatan kemahasiawaan dapat disempurnakan dengan lebih baik demi kecemerlangan dan kegemilangan universiti.


Y.bhg. Prof. Tan Sri Dato`/Tuan-Tuan dan Puan-Puan Yang Dihormati.

Air, Tenaga dan Komunikasi

Air merupakan keperluan asas kepada semua kehidupan di muka bumi ini. Kebelakangan ini, kita  sering dikejutkan dengan masalah bekalan air terputus di kolej-kolej kediaman dan fakulti-fakulti. Ketiadaan air di kampus terutama di kolej-kolej kediaman menyebabkan aktiviti warga UKM terganggu terutama masalah menghadiri kuliah-kuliah akademik. Justeru dari itu, masalah ketiadaan air amat meruncing terutama kepada warga UKM yang mendiami di kolej-kolej kediaman.


Oleh   yang   demikian,   PMUKM  memohon   agar   pihak  UKM   memikirkan  cara penyelesaian jangka panjang supaya permasalahan air dapat diselesaikan demi kepentingan semua warga UKM termasuk pelajar dan semua kakitangan. Pihak PMUKM juga mencadangkan agar rmembina dan membesarkan saluran paip  bagi menggantikan saluran paip yang sedia ada agar masalah ini dapat diselesaikan.

Aspek jaringan komunikasi boleh dilihat dari sudut wifi yang disediakan disekitar universiti. Pihak pengurusan universiti seharusnya mengkaji semula tarif wifi dan memperbaiki sistem perkhidmatan yang kurang memuaskan. Seperti yang kita semua sedia maklum, proses pembelajaran kini kebanyakannya menggunakan internet sebagai salah satu medium pembelajaran. Justeru, barisan kepimpinan PMUKM kali ini berbesar hati sekiranya pihak universiti mendengar keluhan pelajar.  Manakala, bagi menjamin penggunaan tenaga secara cekap, pihak PMUKM bersedia membantu UKM untuk mengadakan kempen-kempen penjimatan tenaga kepada seluruh warga kampus UKM.

Hal Ehwal Pengguna dan Kesihatan

Dalam konteks kepenggunaan universiti, pelajar merupakan pengguna utama bagi perkhidmatan yang disediakan oleh pihak universiti. Dengan hal yang demikian kebajikan pengguna turut menjadi fokus bagi merealisasikan matlamat utama PMUKM.

Sebagaimana kita ketahui, masalah yang selalu berbangkit di kalangan pelajar adalah mengenai yuran kolej yang tidak selaras. Hal ini menyebabkan timbulnya rasa tidak puas hati dalam kalangan pelajar kerana yuran yang dibayar tidak setimpal dengan kemudahan dan prasarana seperti bilik asrama dan tandas yang kurang memuaskan. Tambahan lagi, perkhidmatan kafeteria seperti harga makanan yang tidak konsisten menambahkan lagi bebanan yang terpaksa ditanggung oleh pelajar. Selain itu, kami memohon agar perkhidmatan air pembalikan osmosis dengan izin RO water ditambah dan diselenggara secara berkala demi memastikan mutu air adalah bersih untuk diminum.

Dari aspek kesihatan pula, mutu perkhidmatan kesihatan pada waktu malam seperti penambahan pegawai kesihatan, penambaikkan kemudahan bilik Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) di setiap kolej kediaman harus dipertingkatkan. Seterusnya kami memohon agar pihak Pusat Kesihatan dapat melakukan pemeriksaan ke atas BSMM secara sistematik bagi memastikan mutu dan standard pertolongan cemas dapat memenuhi kepuasan pengguna.

Kebajikan di Kampus Kuala Lumpur

Kepada sahabat-sahabat mahasiswa/i di Kampus Kuala Lumpur, pihak PMUKM sentiasa memantau dan memastikan kebajikan dan kemudahan anda agar terus mendapat perhatian yang sewajarnya. Walaupun Kampus KL jauh di mata, tetapi dekat di hati, oleh itu pihak PMUKM sangat mengambil berat akan permasalahan dan kebajikan pelajar-pelajar Kampus KL. Permasalahan seperti kemudahan dewan kuliah yang tidak mencukupi, keselamatan para pelajar dan hartabenda, kekurangan kemudahan air pembalikan osmosis dengan izin RO water, kemudahan mesin ATM  Bank Islam bagi kegunaan urusan perbankan pelajar dan pelbagai masalah akan diberi perhatian yang sewajarnya.


Y.bhg. Prof. Tan Sri Dato`/Tuan-Tuan dan Puan-Puan Yang Dihormati.


Perkara Kedua: Membantu Universiti melahirkan graduan minda kelas pertama sederap menjadikan UKM Universiti terkehadapan dunia.

Bagi memastikan setiap warga UKM dapat ‘Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan`, tanggungjawab UKM adalah menyediakan sekitaran yang memberi peluang menyubur segala kebolehan. Setiap warga UKM mestilah yakin inilah tempat kebolehan dan bakat mereka dipupuk, labuhan warga berkarya dan berjaya dalam karyaan tersebut. Beberapa hasil memberi keyakinan kejayaan UKM menyedia pesekitaran (fizikal, sosial, rohani dan mental) yang mampu menghasil pelbagai penemuan penyelidikan, meningkat kualiti hidup, dengan bangga memartabatkan bahasa Melayu, mampu melahir graduan yang berjaya menembusi pasaran kerja global, merai kepelbagaian budaya dalam usaha memupuk persefahaman antara etnik, perpaduan dan pensepaduan. Kita perlu terus bersama menjenama UKM sebagai universiti “kebangsaan” unggul yang akan mengukir masa depan yang kita impikan, sebuah masa depan yang membugar, memupuk, melestari dan memilih. Masa depan yang kita impikan mestilah mampu memberikan kesaksamaan, pemerkasaan, kehormatan dan harga diri kepada individu, masyarakat, negara dan dunia. Kitalah yang akan secara sekaligus menyumbang dan mendapat manfaat daripada proses `Mengilham Harapan, Mencipta Masa Hadapan`.

Untuk mempersiapkan diri kita di dalam organisasi dan misi negara, pembangunan modal insan yang bermutu tinggi menjadi salah satu kemestian. Maka, pembangunan modal insan perlu kepada ‘Minda Kelas Pertama’.  ‘Minda Kelas Pertama’ secara mudah difahami sebagai ciri-ciri modal insan yang mampu memenuhi keperluan pembangunan individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia. Ciri-ciri tersebut merangkumi aspek penguasaan ilmu yang tinggi, sikap proaktif, kekayaan moraliti, budaya menyumbang untuk kepentingan bersama dan pembangunan yang bersifat holistik.

Hasrat Kementerian Pengajian Tinggi untuk mewujudkan graduan yang benar-benar mampu bersaing di pasaran kerja telah disambut baik oleh Universiti Kebangsaan Malaysia. Keupayaan pelajar untuk menguasai setiap komponen dalam kompetensi generik ini sangat penting kerana menurut Goleman (1995) peraturan memilih pekerja di era globalisasi ini telah berubah. Majikan bukan lagi hanya menilai bakal pekerja dari aspek kebolehan intelek sahaja, malah lebih penting lagi, mereka dinilai dari pelbagai aspek trait peribadi yang boleh menjadikan mereka pesaing yang hebat dalam pasaran pekerjaan.

Langkah universiti memperkenalkan Sistem Penilaian Kompetensi Generik (SPKG) merupakan langkah pertama dalam melahirkan graduan minda kelas pertama. Kemahiran-kemahiran generik harus dikuasai oleh semua pelajar bagi memantapkan “soft skill” demi memastikan kebolehpasaran graduan UKM menjadi pilihan. Namun demikian, SPKG ini memerlukan semakan semula dari aspek implementasinya supaya pelajar UKM lebih berketrampilan, berdaya saing dan lebih terkehadapan.

Bagi memperkasa kompetensi generik, ia perlulah dimulakan dengan langkah-langkah yang menggalakkan permurnian pembelajaran, bermaksud ia mestilah bersandarkan dengan tujuan utama kompetensi generik dilaksanakan iaitu untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan. Walaupun universiti kita yang tercinta ini menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pembelajaran tetapi melalui pemerhatian para cendekiawan, Bahasa Inggeris adalah bahasa ilmu yang paling banyak digunakan dalam bahasa teknologi dan global. Pensejagatan ilmu memartabatkan bahasa dan khazanah bangsa kerana ilmu global tidak releven selagi tidak ditafsir, diadun dan digarap dalam konteks setempat yang proses pemutikannya terikat kepada bahasa watan. Sebagai ikon negara, UKM juga peka dengan keperluan sejagat yang memihak kapada kekuatan yang diperoleh daripada kepelbagaian, justeru meraikan penguasaan pelbagai bahasa termasuk Bahasa Inggeris.

Sebenarnya apa yang pihak PMUKM lihat, masalah pelajar kita masa kini adalah penguasaan dalam Bahasa Inggeris. Bagi memastikan Bahasa Melayu terus dimartabatkan dan Bahasa Inggeris dikuasai dengan sempurna, oleh itu kami menyarankan kepada pihak UKM agar mewujudkan Kelab Bahasa Inggeris di setiap kolej yang mana  ia dijalankan secara berperingkat dan konsisten. Pengisian ini haruslah diperhalusi supaya ia merangkumi semua aspek,  tatabahasa, penulisan dan pertuturan. Kelab ini juga berfungsi sama seperti kelab-kelab di kolej kediaman yang mana kelab ini akan terlibat dengan penganjuran pertandingan debat Bahasa Inggeris dan program-program yang menjurus kepada Bahasa Inggeris. Diharap kemandirian kelab ini terus rasional dengan program bermediumkan Bahasa Inggeris dan bukannya bersifat konvensional.  


Y.bhg. Prof. Tan Sri /Dato`/Datin/Tuan-Tuan dan Puan-Puan Yang Dihormati.

Pembangunan lestari mengikut acuan mahasiswa minda kelas pertama adalah tidak tertumpu kepada  pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar semata-mata, tetapi ia sebenarnya menyentuh sikap dan tanggungjawab manusia itu sendiri. Perkara ini dilihat kerana kampus kita ini dikelilingi dengan kehijauan semulajadi di mana alam semulajadi yang hijau sering dikaitkan dengan kesegaran yang menjurus kepada pencambahan minda yang lebih produktif , sama ada dari segi akademik mahupun ko- korikulum. Bak kata pepatah , ‘Memelihara sesuatu yang kita ada bukan senang, tetapi untuk memusnahkan adalah sangat mudah’. Dengan ini, PMUKM sesi ini yang begitu prihatin dengan kehijauan alam semulajadi, telah mewujudkan Exco Pembangunan Lestari, Inovasi dan Penyelidikan sesuai dengan “niche” UKM yang berusaha untuk melestarikan kehijauan alam semulajadi. Bagi memastikan ia terus dipelihara program-program kesedaran tentang kelestarian alam sekitar akan diteruskan agar nilai-nilai murni dapat dipupuk dan disemadikan secara total di dalam setiap tindakan dan perilaku kita semua.



Perkara Ketiga: Keperihatinan terhadap kebajikan hal ehwal siswi

Mengikut statistik terkini prasiswazah di UKM, jumlah pelajar siswi adalah 68% berbanding pelajar siswa sebanyak 32%. Ini bermaksud, hampir 2/3 daripada seluruh pelajar prasiswazah terdiri daripada pelajar siswi. Oleh yang demikian PMUKM mengambil inisiatif untuk melantik seorang MPP siswi ke Jawatan Naib Presiden dan mewujudkan semula satu Jawatan Exco Hal Ehwal Siswi bertujuan untuk melihat secara terperinci aktiviti dan permasalahan yang sering  di hadapi oleh pelajar siswi. Melalui kewujudan exco ini, pihak PMUKM dapat mendampingi siswi dengan lebih dekat dan seterusnya mengiktiraf peranan siswi dalam usaha memacu Universiti Kebangsaan Malaysia  Sederap Universiti Terhadapan Dunia.           

Perkara Keempat: Memupuk perpaduan dalam kalangan warga UKM yang berbilang kaum berteraskan nilai-nilai murni dan berpaksikan Rukun Negara.

Perpaduan merupakan satu elemen kritikal yang dapat memastikan kelangsungan sebuah tamadun bangsa. Keadaan ini memerlukan satu kaedah pemupukan yang berkesan dari peringkat universiti lagi. UKM merupakan tempat terbaik dalam mewujudkan perpaduan dalam kalangan pelajar selaras dengan aspirasi negara menjunjung tinggi toleransi antara kaum. Seperti  pepatah Melayu “ Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”.  Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi realiti kepelbagaian ini digandingkan dengan konsep `perkongsian`, perinsip berkongsian yang diperagakan ini membayangkan wujudnya semangat toleransi dikalangan warga UKM iaitu semangat mengiktiraf dan menghormati kelainan budaya setiap kumpulan etnik. Prinsip perkongsian ini juga mengandungi falsafah kesaksamaan, keadilan sosial, intergriti dan meritokrasi yang dijunjung keluhurannya oleh UKM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang cemerlang. Justeru itu, diharapkan para pelajar dapat menerapkan teras-teras perpaduan sebagai budaya dan amalan dalam kehidupan seharian. Teras perpaduan ini didukung oleh nilai-nilai murni yang seharusnya mendasari cara hidup rakyat Malaysia.

Selain itu, dalam usaha untuk bersaing di peringkat global PMUKM tidak terkecuali untuk membantu pihak universiti memartabatkan seluruh warganya di mata dunia yang bercirikan identiti kebangsaan. Cabaran ini selaras dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia untuk membangunkan sekurang-kurangnya sepuluh pusat kecemerlangan dari segi penyelidikan, hak cipta, penerbitan, kerjasama penyelidikan dan pengkomersilan. Perkara ini jelas menunjukan bahawa hasrat kami ini tidak bertentangan dengan aspirasi kerajaan yang murni.

Dengan berbekalkan kepercayaan yang diberikan, kami barisan kepimpinan PMUKM sesi 2009/2010 akan sedaya upaya mengemudikan bahtera kepimpinan ini dengan penuh dedikasi dan semangat yang membara di dalam jiwa sanubari kami. Apa yang kami rencanakan ini bukanlah retorik semata-mata. Namun, perkara yang kami manifestasikan ini adalah satu  usaha yang akan kami dukung selaras dengan hasrat dan misi universiti. Tugas dan amanah yang diberikan ini amat berat tetapi kami yakin dapat memikulnya sekiranya kita dapat bergerak bersama-sama. Kita mungkin tidak dapat melihat hasilnya berbuah dalam tempoh yang singkat, namun dengan berkat usaha dan kekuatan momentum yang ada di dalam barisan kepimpinan PMUKM kali ini, insyaAllah kita dapat merealisasikan segala impian dan harapan yang ingin digapai kerana hari kita hendak “Mengilhamkan Harapan untuk Mencipta Masa Depan”.


Penghargaan

Ucapan terima kasih dirakamkan kepada Y.Bhg. Prof. Tan Sri Dato` Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabuddin  (Naib Canselor UKM), Timbalan-Timbalan Naib Canselor, Pegawai-pegawai Kanan Universiti, Pengetua-pengetua Kolej, Dekan-Dekan Fakulti, pegawai-pegawai HEP, JPPel, PPP dan seluruh warga kampus yang telah memberikan komitmen, sokongan dan kerjasama. Pihak PMUKM  mengharapkan pihak pengurusan universiti  dapat memberikan sokongan dan tunjuk ajar agar PMUKM akan terus maju ke hadapan.

Bersama-sama ini saya akhiri ucapan saya dengan empat rangkap pantun,

Kalau rotan dipanjat benalu
Sekerat disimpan dalam bakul
Kalau beban sudah ke bahu
Berat ringan wajib dipikul

Hendak berlayar ke Pulau Betong,
Sambil mencuba labuhkan pukat,
Bulat air kerana pembentung
Bulat manusia kerana muafakat.

Jikalau tuan mengangkat peti,
Tolong masukan segala barang
Jikalau kita bersatu hati,
Kerja yang susah menjadi senang.


Tenang-tenang air di laut
Sampan kolek mudik ke tanjung
Hati terkenang mulut menyebut
Budi yang baik rasa nak junjung

Bersama kita bersatu, bulatkan niat yang satu, PMUKM sesi 2009/2010 nombor satu.

Sekian, terima kasih.

No Response to "UCAPAN DASAR PRESIDEN PERSATUAN MAHASISWA UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA SESI 2009/2010"